Aplikasi BEST Invest BIMB Investment Memenangi Anugerah “Best Fintech Robo Mobile Application” di The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2021

Kuala Lumpur, 3 September 2021 – BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) memenangi anugerah Best Fintech Robo Mobile Application di The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2021 menerusi aplikasi BEST Invest. BEST Invest adalah aplikasi pelaburan robo-pintar unit amanah Shariah-ESG pertama oleh BIMB Investment.

The Asset Triple A Islamic Finance Awards merupakan anugerah berprestij industri dalam salah satu bidang kewangan global khusus yang paling pantas berkembang dan berpotensi. Anugerah tersebut mengiktiraf bank-bank dan institusi Islam, menggunakan pendekatan yang telus dalam memilih institusi dan urus niaga Islam terbaik dari pelbagai negara. Majlis penganugerahan tersebut akan berlangsung secara maya pada 15 September 2021.

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Pengerusi BIMB Investment berkata, “Teknologi dan pendekatan digital kini menjadi kunci kejayaan kepada industri kewangan Islam melalui inovasi yang pesat ketika dunia sedang berubah ke arah digitalisasi dalam sektor produk dan perkhidmatan. Aplikasi BEST Invest membantu para pelabur secara digital untuk membina sebuah portfolio pelaburan yang optimum dengan menggunakan data dan analisis. Matlamat kami adalah untuk menjadikan pelaburan ringkas dan mudah, serta mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk melabur dari usia muda. Kami amat berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij yang mengiktiraf komitmen berterusan untuk memperkenalkan sebuah pengalaman era digital yang baharu bagi pengurusan dana dan kewangan untuk kepentingan orang ramai.”

BEST Invest dilancarkan pada 26 Mac 2020 sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menawarkan penyelesaian digital baharu bagi pelaburan lestari kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia merupakan platform pelaburan yang secara sistematik menilai profil risiko pelabur serta tujuan pelaburan mereka, seterusnya memperuntukkan pelaburan melalui dana unit amanah pelbagai yang diuruskan oleh BIMB Investment secara automatik untuk memaksimumkan pulangan dan menguruskan risiko pelaburan dari masa ke masa.

Aplikasi ini memberi peluang kepada pelabur untuk memulakan pelaburan sama ada dengan memilih fungsi “Do it for Me” atau fungsi “Do it Yourself” dalam aplikasi. Fungsi “Do it for Me” membolehkan sistem Robo-Pintar mengenal pasti dan memilih dana serta jumlah pelaburan yang sesuai berdasarkan profil risiko pelabur. Sebagai alternatif, fungsi “Do It Yourself” membolehkan para pelabur memilih dana yang ingin mereka laburkan tanpa bantuan sistem Robo-Pintar untuk pengalaman yang lebih bersifat peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, “Kami bangga melihat sejauh mana aplikasi BEST Invest telah berkembang. Sehingga kini, kami mempunyai kira-kira 35,000 jumlah pendaftaran dengan jumlah jualan hampir 20 juta. Aplikasi ini menawarkan dana unit amanah Syariah dan ESG di seluruh kelas aset yang merangkumi ekuiti global, ekuiti Asia Pasifik, ekuiti Malaysia, Sukuk global, pasaran wang dan dana unit amanah Wakaf yang baru kami lancarkan. BIMB Investment adalah Pengurus Aset Islam disokong bank yang menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI). Kami juga mempunyai fokus utama pada pelaburan lestari yang menerapkan nilai-nilai ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus). BEST Invest sesuai bagi semua pelabur untuk mula membina kewangan peribadi mereka. Individu hanya perlu menumpukan pada jumlah amaun dan tempoh yang mereka inginkan. Aplikasi ini kemudian akan membantu mengesyorkan portfolio pelaburan yang sesuai berdasarkan profil risiko dan matlamat kewangan mereka.”

“Memenangi anugerah ini membuktikan kepercayaan teguh kami terhadap produk pelaburan berasaskan Syariah dan ESG serta pelaburan secara umum. Tujuan kami adalah untuk terus memberikan pulangan dengan penyelarasan risiko yang baik dan berterusan untuk jangka panjang. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami atas dedikasi dan kerja keras mereka sepanjang perjalanan ini.” tambahnya.

###

Kenyataan:
Spesifik kepada mana-mana dana unit amanah BIMB Investment yang disebutkan di atas, pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Prospektus atau Memorandum Maklumat dan tambahannya (jika ada) dan Halaman Serlahan Produk (PHS) sebelum melabur, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang tidak akan bertanggungjawab terhadap kandungannya. Salinan Prospektus / Memorandum Maklumat dan PHS boleh didapati di Ibu Pejabat BIMB Investment Management Berhad, di laman web www.bimbinvestment.com.my, perunding unit amanah dan pengedar yang diluluskan dan/atau mana-mana cawangan Bank Islam. Kebenaran SC atau pendaftaran Prospektus / Memorandum Maklumat tidak boleh diambil kira bahawa SC telah mengesyorkan Dana tersebut. Terdapat yuran dan caj yang dikenakan dan pelabur dinasihatkan untuk membandingkan dan mempertimbangkannya sebelum melabur di dalam Dana. Pelaburan di dalam Dana ini terdedah kepada risiko, sila rujuk kepada Prospektus / Memorandum Maklumat untuk maklumat terperinci. Pelabur dinasihatkan untuk mempertimbangkan risiko di dalam Dana dan harus membuat penilaian sendiri mengenai risiko dan mendapatkan nasihat professional, jika perlu, sebelum melabur. Pelabur juga perlu ambil perhatian bahawa harga unit dan agihan yang dibayar, jika ada, boleh turun dan naik. Sebarang isu unit yang berkaitan dengan Prospektus / Memorandum Maklumat hanya akan dibuat setelah penerimaan borang permohonan yang lengkap yang dilampirkan bersama Prospektus / Memorandum Maklumat tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung didalamnya. Siaran akhbar ini tidak disemak oleh SC.

Pertanyaan:
Rohazida Mohamed
Head, Group Corporate Communications
Bank Islam Malaysia Berhad
Tel: +603-2782 1232
Email: [email protected]

Omar Atin
Senior Manager, Group Corporate Communications
Bank Islam Malaysia Berhad
Tel: +603-2781 2943 / +6019-391 9144
Email: [email protected]

Nurfarah Diyana Mohd Firhad
Brand & Communications
BIMB Investment Management Berhad
Tel: +603-2161 2524
Email: [email protected]